INSPIRA tampil dengan reka bentuk elegan ditawar harga permulaan RM79,888 dilancar tidak rasmi di Subang Jaya, semalam.
Model terbaru PROTON ganti Waja dibuka untuk tempahan
PROTON Holdings Bhd (PROTON) semalam memperkenalkan model sedan terbaru, 'Inspira' yang ditawarkan dengan harga permulaan RM79,888 seunit.
Model yang akan dilancarkan secara rasmi pada awal bulan depan itu sudah dibuka untuk tempahan mulai semalam di semua pusat jualan Proton Edar di seluruh negara dengan bayaran minimum RM1,000 seunit
PROTON berkata, pelanggan yang membuat tempahan awal bermula semalam hingga 15 November ini akan mendapat perkhidmatan servis percuma selama dua tahun atau sehingga 50,000 kilometer perjalanan.
Model Inspira yang ditawarkan dengan dua kapasiti enjin iaitu 1.8 liter dan 2.0 liter itu didatangkan dalam empat warna iaitu merah, hitam, perak dan putih.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata harga jualan bagi model Inspira kelas bawah dianggarkan pada RM79,888 seunit dan tidak melebihi RM95,000 seunit bagi model peringkat tinggi.
“Pelancaran Inspira antara usaha meningkatkan keupayaan teknologi syarikat untuk muncul sebagai pengeluar kereta global,” katanya pada majlis pengumuman nama Inspira bagi model terbaru PROTON itu dan pelancaran tidak rasminya di Subang Jaya, semalam.
Syed Zainal berkata, Inspira juga menjadi model pertama Proton yang dilengkapi dengan teknologi MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control system) yang dapat meningkatkan prestasi enjin pada setiap kelajuan.
PROTON katanya, menyasar menjual 1,600 unit sebulan bagi model sedan terbarunya itu.
Syed Zainal berkata, susulan daripada pelancaran Inspira, PROTON akan menghentikan pengeluaran model Waja.
Beliau berkata, pelancaran Inspira yang dibangunkan dengan kerjasama Mitsubishi Motor Corporation (MMC) itu juga sejajar dengan falsafah PROTON untuk terus memperkenalkan kereta berkualiti pada harga berpatutan.
Mengenai pemilihan nama Inspira, Syed Zainal berkata, ia berasal daripada perkataan ‘Inspirasi’ yang menepati inspirasi PROTON.
Inspira diilhamkan kakitangan bahagian kejuruteraan elektrik PROTON, Saiful Yazan Nasir
No comments:
Post a Comment